Bismilahirrahmanirrahim....
Celik sahaja mata, mulut kita pun akan memulakan tugasnya bercakap sehinggalah mata kita terpejam. Bolehkah kita hidup seharian tanpa bercakap? Bayangkanlah andai kita duduk berseorangan seharian tanpa dapat berkata-kata.
*************************************************************************************
Bayangkan anda berada di rumah seharian dan bersendirian tanpa teman berbicara. Pasti boleh sakit jiwa. Begitulah pentingnya teman untuk berbual, supaya apa yang ada dalam minda dan hati dapat diluahkan melalui kata-kata.
Namun, kita harus ingat bahawa bercakap ini harus kena pada tempatnya. Kita tidak boleh sesuka hati mengeluarkan kata-kata tanpa memikirkan akibat daripada ungkapan yang kita keluarkan. Macam kata pepatah Melayu, " kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa". Islam juga mengariskan sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berbicaralah dengan baik atau diam." (Riwayat al-Bukhari)
Jika bicara kita tidak mendatangkan kebaikan, lebih baik kita berdiam diri. Tujuan dan matlamat manusia berbicara atau bercakap perlu jelas. Kesannya harus mendatangkan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat dan bukan sebaliknya. Selain itu, untuk menjamin wujudnya keharmonian sesama manusia. Islam telah menggariskan beberapa syarat untuk kita patuhi sebelum, semasa dan selepas kita berbicara. Peringatan ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah dalam surah Qaf ayat 18 yang bermaksud : "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan, melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang selalu hadir
(malaikat Raqib dan Atid yang mencatat amalan). (Surah Qaf 50: 18)
ADAB-ADAB APABILA BERBICARA
Bercakap Benar
Sebelum perkataan keluar dari mulut kita, kita perlulah berhati-hati dan berfikir sebaik-baiknya kerana Islam mewajibkan supaya bercakap benar . Pepatah Melayu juga ada menyebut , "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata padah akibatnya." Kewajipan untuk bercakap benar seperti firman Allah dalam al-Quran surah al-Tawbah ayat 119 yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman, bertawaqalah kamu kepada Allah dan jadilah kalian bersama-sama orang yang benar".
Bercakap harus berpandukan kepada fakta yang benar dan bukanlah pendustaan yang dilemparkan untuk memuaskan hati atau demi kepentingan diri. Maka jadilah kita hamba yang sentiasa bercakap benar.
Perkataan yang Baik
Setiap kebaikan yang kita berikan akan dibalas dengan kebaikan. Oleh sebab itu, ucapkanlah kata-kata yang baik agar sedap orang mendengarnya, kata-kata itu akan dibalas juga dengan kata-kata yang baik. Kata-kata yang baik boleh mendatangkan kebaikan, memberikan rangsangan motivasi , menimbulkan semangat dan menggembirakan orang yang mendengarnya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Jagalah diri daripada api neraka walau dengan sebeleh kurma. Sesiapa yang tidak mendapatkannya maka lakukan dengan ucapan yang baik. " (Riwayat al-Bukhari)
Allah juga menyuruh kita bercakap dengan baik sesama manusia sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud: " Dan ucaplah kata-kata yang baik kepada manusia."
Kurangkan Bercakap
Inilah perkara yang amat susah untuk kita praktikkan. Ramai orang tahu bahawa kita hanya bercakap apabila diperlukan sahaja. Realitinya memang sukar untuk kita laksanakan. Mulut ini lebih selesa bercakap daripada senyap. Kalau tidak dapat bercakap, terasa tekanan yang amat sangat. Kita harus mencari jalan untuk mendorong hati agar sedikit berbicara. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci daripada kalangan kalian dan paling jauh daripadaku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bicara." (Riwayat al-Tirmizi)
Jelas dan Terang
Berbicaralah dengan suara yang jelas dan terang supaya hasrat dan maklumat yang disampaikan itu difahami oleh orang yang mendengarnya. Berbicaralah dengan perlahan-lahan dan tidak tergesa-gesa dengan penuh keyakinan. Berikan tumpuan atau fokus semasa bercakap dengan memandang wajah orang mendengarnya. Ini hanyalah sebahagian daripada adab atau seni berbicara yang dianjurkan dalam Islam. Apabila berbicara, jadikanlah bicara dan setiap lafaz yang terucap itu ibadah. Moga Allah nilai sebagai satu amalan yang membuahkan pahala kerana kata-kata juga satu sedekah. Apabila berkata-kata juga, selitkanlah mesej tauhid. Moga ada manfaatnya buat diri yang sedang berbicara dan orang yang mendengarnya.
Interaksi Islami : Hj. Zainuddin Ali_ Solusi
Kesan bersikap jujur lebih baik berbanding kesan daripada tidak bersikap jujur,
Natijah daripada bercakap dusta (menipu) lebih berat berbanding berkata benar,
Kesan berkata baik lebih menyenangkan berbanding berkata tidak baik,
Mungkin ramai yang tidak ingin ditipu, tapi masih menipu..
Mungkin ramai ingin orang bersikap jujur namun sendiri tidak jujur..
Jika keburukan dibalas kebaikan...itu bicara Tuhan,
untuk membuka mata hati supaya selami diri...
~Jika aku membalas keburukan dengan keburukan apa bezanya antara aku dan kamu~
0 comments:
Post a Comment