"Kadang-kadang, kita merasa kehidupan kita sedang berada di tahap kelajuan melampau. Sehinggakan kita sendiri termengah-mengah dalam menyelesaikan semua urusan seharian. 

Begitu juga dengan saya. Sejak akhir-akhir ini, saya berasa begitu mudah penat. Tercungap dengan kerja-kerja seharian yang memakan seluruh jiwa dan raga saya. Sehinggakan, saya begitu menginginkan satu hari yang saya tidak perlu berbuat apa-apa. Mahu berehat saja.

Namun, ada seorang sahabat mengingatkan, " Kalau dah rasa penat dengan kehidupan, let's take a step back and reflect." Reflections. Muhasabah. Ya. Itulah suatu perkara penting untuk dilakukan yang sering kali lupa akannya. Kita terlupa bahawa, dalam kehidupan seharian kita yang Allah SWT sudah tetapkan itu, terdapat hikmah yang Dia letakkan pada setiap keadaan. Seorang syeikh Arab pernah berkata, setiap hari, dia akan memastikan dirinya melakukan muhasabah sekurang-kurangnya pada setiap waktu solat. Ini kerana, dia tahu dirinya begitu lemah. Dia begitu mudah tewas dengan hasutan syaitan. Jadi, apabila ada kesalahan atau maksiat yang telah dilakukannya pada selang masa itu, dia akan terus gantikannya dengan amal kebaikan yang lebih banyak.

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya) : "Lakukanlah kebaikan selepas kamu melakukan suatu keburukan maka kebaikan tersebut akan menghapuskan dosa keburukan yang telah kamu lakukan dan pergaulilah orang lain dengan akhlak yang baik." (HR at-Tirmidzi & Ahmad)

Muhasabah jika dilakukan secara berterusan dan diiringi pula dengan amal yang bermanfaat mampu mengubah dan memberi kesan yang besar dalam kehidupan kita. Malah, ia boleh menjadi sebuah kerehatan yang menenangkan di saat kepenatan serta menjadikan setiap urusan kita bermakna dan bertujuan. Sehinggakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan akan terasa amat ringan kerana niat yang kembali disuci dan diikhlaskan dalam setiap tindakan.

Saya kini sudah mengetahui jawapan kepada kepenatan saya Saya hanya perlu bermuhasabah. Dari situ, saya perlu membetulkan niat dan sentiasa mengikhlaskan diri agar bisa meraih kenikmatan yang besar dalam kesibukan yang ada pada kerja seharian saya.

Barangkali, saya tidak lagi perlu mengambil cuti rehat! walaupun sering demam sejak akhir-akhir ini."

[Khadeejah Khaulah]

Hanya Allah Sebagai Penolongku..

0 comments:


"Always Be There"