Mungkin umur tidak panjang,
Jadi usah beban memikul rasa yang tidak sempat dirasa.
Lalui dengan tenang dan lapang,
Agar kembali kepadaNya tanpa lelah yang memanjang,
Diam memendam hati yang rapuh sentiasa,
Kerana kita adalah kita.
”setiap dugaan yang datang perlu dihadapi dengan tabah hati dan sabar. Ujian ini diturunkan untuk menguji keimanan manusia, oleh itu maka, (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (al-Insyirah : 5)
Mungkin umur tidak panjang,
Jadi usah beban memikul rasa yang tidak sempat dirasa.
Lalui dengan tenang dan lapang,
Agar kembali kepadaNya tanpa lelah yang memanjang,
Diam memendam hati yang rapuh sentiasa,
Kerana kita adalah kita.
Bismillah...
Alhamdulillah...
MasyaAllah...
Masuk minggu yang ketiga atau lebih. Selepas kena covid 19 pada bulan Mac tempoh hari, kesihatan masih belum betul-betul sihat sepenuhnya. Antara kesan selepas C19 seperti demam on off, selesema, lenguh badan masih sehingga ke hari ini. Minggu lepas MC 2 hari dan masuk minggu ini masih demam, selesema dan lemah badan, kahak bertekad tidak mc dan ke sekolah. Allahuakhbar. Moga Allah ampuni segala dosa dan masih ada rahmat untuk dikurniakan kesihatan yang baik..Aamin..untuk anak-anak juga.
Urusan kerja juga sama. Kerja tak pernah habiskan. Ada sahaja. Ada je di tambah. Tapi itulah kalau diikutkan memang makin serabut. Jadi tenang-tenang sahajalah. Siapkan yang mana lebih utama. Susun baik-baik supaya bukan kerja yang aturkan kita, tetapi kitalah aturkan urusan sehikmah-hikmah mungkin.
Bulan yang agak meruntun jiwa juga pada bulan Mei ini. Dua tarikh besar yang memberi kesan dalam kehidupan iaitu tarikh lahir Ma pada 15 Mei dan Hari Guru 16 Mei. Tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata.
Jika dulu, kalau tak sihat ni ma la tempat kita mengadu, sekarang dah tak de tempat meluah... (.....)..
Apapun, ujian dan urusan kita tidakkan sama dengan orang lain. Jangan dibandingkan. Jika ada orang nak bandingkan dengan hidup mereka, biarkan sahaja. Hanya kita tahu apa yang kita lalui. Kadang-kala memang Allah akan hadir insan yang tidak memahami dan persoalkan mengenai urusan kita. Ujian sabar. Laluinya dengan doa dan senyuman sahaja.
Mengurusi apa jua keadaan yang kita lalui seharusnya begitulah..Allah tidak akan bebankan hambaNya melebihi kemampuan hambaNya. InsyaAllah, yakinlah. Allah sentiasa bersama kita. Minta, doa dan berusahalah dapat apa jua keadaan.
Badan merasa kian lelah,
Atau semakin gagah
Meniti usia, meneruskan perjalanan,
yang tiada tarikh noktah.
Sibuk,
urusan dunia yang tidak pernah mengalah merajai tahkta,
melirih mata untuk terus menghadapnya tidak kira masa.
memaksa tubuh walaupun mereput riuk, urat yang tersimpul.
24 jam masa dikurniakan,
kadang leka tidak terurus,
berserabut rasa kepeningan menggunung,
sesak, rasa sukar diselindung.
Bertafakur....
nikmat yang dikandung,
memikirkan Yang Maha Agung,
mendidik jiwa yang merapuh,
membenarkan dengan seketul hati...
dengan lapang dan tenang,
kembalinya kita bersama,
Nama Allah yang indah,
dalam Asma Mu Ya Allah....
Urus,
perjalanan langkahmu dengan hikmah,
meneruskan walaupun lelah,
berhenti bukan mengalah,
rehat tanda kita manusia dan hamba,
memohon petunjuk jalan jika tidak tahu arah,
merintih untuk sentiasa bersama hamba yang dipilih oleh Dia sentiasa,
agar tidak rugi dunia apatah lagi di akhirat sana,
destinasi akhir kita sebelum menghidu bau mekar Syurga Firdausi yang indah.
perbetulkan tauhidmu, menerima dan tahu amanah dan tanggungjawabmu,
supaya langkah sentiasa terarah.
17 Mei 2022
Cikgu Akma Kasim.
#Tertinggal telefon